Thursday, 11 August 2011

FST Rangkul Juara Reka Cipta Menara KLCC (USIM)


NILAI – Idea mereka cipta mercu tanda Kuala Lumpur dengan menggunakan botol oleh pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (FST) membuahkan hasil apabila memenangi tempat pertama Festival Reka Cipta KLCC antara fakulti di USIM baru-baru ini.

Kumpulan Ixora yang dianggotai oleh enam pelajar FST membawa pulang hadiah berupa hamper, cenderamata dan sijil penyertaan dari Sekreteriat Rakan Muda.
Menurut Ketua Kumpulan Ixora, Muhammad Iqbal Arifin, 20, kreativiti untuk mereka cipta menara KLCC menggunakan botol adalah idea spontan seorang ahli kumpulannya.
“Kali pertama terbaca iklan mengenai pertandingan ini, terus tergambar di benak fikiran kawan saya untuk membuat replika tersebut dari botol dan dia sangat teruja untuk menyertainya walaupun pada awalnya hanya dua orang sahaja berminat. Namun, saya berjaya kumpulkan empat lagi rakan untuk bersama saya,” katanya.
Tambahnya lagi, mereka memulakan persediaan awal dengan mengkaji struktur pembinaan KLCC yang sebenar dan juga sejarahnya.
“Kami mencari bahan dalam internet seperti foto KLCC yang diambil dari pandangan sisi dan atas sebagai panduan dalam mengembangkan idea mencipta replika tersebut. Di samping itu juga, kami mencari fakta dan sejarah pembinaan KLCC,” katanya.
Kumpulan yang berjaya!
Kumpulan yang berjaya!
Replika tersebut menggunakan sebanyak 140 botol mineral dan selebihnya surat khabar, ranting kayu dan juga playwood. Manakala tempoh yang diambil bagi menyiapkannya adalah dua hari dua malam.
Festival ini merupakan anjuran Rakan Cinta Alam Sekretariat Rakan Muda USIM dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) USIM serta Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS). Sebanyak enam fakulti mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
Menurut Penolong Pegawai Cawangan Perkembangan Rakan Muda, Yang Berbahagia Encik Ma’arif Masuan, program seperti ini perlu diteruskan supaya dapat mencungkil bakat di kalangan pelajar.
“Tujuan program ini dijalankan untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada pelajar akan kepentingan menjaga alam sekitar di samping mencungkil bakat-bakat baru dan kreativiti membina replika Menara KLCC ini. Sebenarnya kerajaan telah lama merancang untuk menjalankan program seperti ini semenjak tahun 1996 di mana idea ini datangnya daripada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia dahulu. Oleh sebab itulah tertubuhnya Rakan Muda bagi merealisasikan ilham tersebut seperti yang berlaku pada hari ini,” katanya.
Pertandingan Reka Cipta ini diadili oleh tiga hakim iaitu, Penggerak Rakan Muda Khidmat Negara, Jabatan Belia dan Negara, Negeri Sembilan, Norazlina Harun, dan Penolong Pendaftar Unit Perkhidmatan dan Penginapan Pelajar, Hazrul Fareeza Harun serta Pegawai Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Al-‘Uyuna Mohamad Amin. Penilaian adalah berdasarkan kreativiti, kekemasan, kestabilan, ketinggian dan keaslian.
Wakil hakim, Hazrul Fareeza Harun ketika ditemui berkata, setiap penilaian adalah berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan pihak penganjur serta pengetahuan am peserta mengenai Menara KLCC.
“Penilaian ini ditekankan dari segi keaslian bentuk replika dengan Menara KLCC sebenar. Selain itu, kestabilan juga dilihat dari segi kekukuhan replika tersebut,” jelasnya.
Bersama dengan hasil rekaan
Bersama dengan hasil rekaan
Pengarah Program, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Usuldin, Tahun 2, FKP, menjelaskan KLCC menjadi pilihan sempena festival ini kerana ia merupakan mercu tanda Negara.
“KLCC dipilih untuk menaikkan semangat patriotik di kalangan peserta amnya dan ia merupakan lambang kebanggan Negara kita khususnya walaupun hanya sebuah replika,” katanya.

CREDIT TO : BERITA KAMPUS

No comments:

Post a Comment