Monday, 15 August 2011

UiTM awasi pelajar agar tidak salah guna ICT


KOTA SAMARAHAN: Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak Prof Dr Jamil Hamali tidak mahu pelajar UiTM menyalahgunakan kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
Beliau memberitahu demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan penyalahgunaan kemudahan ICT di kalangan pelajar memandangkan pelajar kini semakin mahir dan terdedah dengan kemudahan itu.
Menurut Dr Jamil setiap pelajar semasa tempoh pengajian sudah diterangkan tentang kebaikan dan keburukan ICT serta apa yang boleh dan tidak boleh dibuat.
Justeru itu beliau amat mengharapkan agar pelajar dapat mempraktikkan apa yang telah dipelajari untuk tujuan kebaikan dan tidak menyalahgunakan kemudahan itu.
“Pelajar kita sudah diberitahu tentang kebaikan dan keburukan kemudahan ICT dan mereka juga telah dilatih untuk menggunakannya, disebabkan itu kita tidak mahu mereka menyalahgunakan kemudahan itu untuk tujuan jahat seperti mengaibkan rakan atau memburukkan nama UiTM,” katanya.
Tambah beliau, jika ada pelajar yang didapati menyalahgunakan kemudahan itu pihak UiTM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib.
“Saya tidak menyangkal perkara ini ada berlaku, dan kita di peringkat universiti mempunyai bahagian Hal Ehwal Pelajar dan tidak dinafikan juga kita ada membuat tangkapan.
“Ini kerana kita dalam Akta 174 perlu pastikan pelajar tidak mengunakan ICT untuk mengaibkan rakan pelajar lain serta menyalahgunakannya untuk tujuan peribadi,” katanya.
Bagaimanapun beliau yang sebelum itu merasmikan Ekspo ICT UiTM Sarawak 2011 juga ditanya mengenai penyebaran video yang mempunyai elemen-elemen negatif di laman web ‘YouTube’ yang mengaitkan UiTM.
“Kita tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang menggunakan nama UiTM, kerana sebut sahaja UiTM semua orang akan kenal disebabkan itu mereka mahu mengaitkannya untuk menjadikannya lebih sensasi.
“Bahkan seringkali juga pelajar-pelajar kita dijadikan sasaran untuk dikaitkan dengan perkara-perkara yang tidak baik, tetapi kita mempunyai undang-undang dan kita tahu cara-cara untuk mengawalnya,” jelasnya.
Ekspo ICT UiTM Sarawak 2011 adalah sebagai pendedahan kepada warga UiTM kepada aspek perkembangan ICT dan kepesatan aplikasi jalur lebar.
Ekspo dua hari itu yang bermula semalam dan berakhir hari ini merupakan anjuran kerjasama Bahagian Perpustakaan UiTM Sarawak dengan Telekom Malaysia (TM) Bhd Sarawak.
Hadir sama pada ekspo tersebut semalam ialah Timbalan Ketua Pustakawan UiTM Jamalludin Sulaiaman dan wakil Pengurus TM Bhd Sarawak Suhardi Sahari.

No comments:

Post a Comment